Friday, 16 May 2014


Siapa Kenal Wak Doyok Pereka Fesyen?



PENAMPILAN jejaka ini sedikit berbeza dengan kebanyakan gaya lelaki pada hari ini. Memakai baju berkotak dan seluar jean ketat, aura maskulin era Inggeris tahun 60-an jelas sebati dalam persalinannya. Tidak setakat itu, dia turut melengkapkan pesona diri dengan gaya janggut yang dilihat eksentrik pada pandangan mata orang Malaysia.
“Ramai mula mengenali saya melalui jambang dan kumis unik ini,” ujar Muhammad. Azwan Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Wak Doyok. Nama gelaran anak kelahiran Klang, Selangor itu mengimbas kembali watak komedi negara seberang iaitu Wak Doyok dan rakan duonya, Kadir, yang mencuit hati negara di nusantara sekitar tahun 1980-an.

“Gelaran itu saya dapat apabila rakan-rakan melihat persamaan dari segi personaliti yang suka membuat lawak ketika bersama mereka. “Kebetulan saya sendiri berketurunan Jawa, jadi ia tidak mendatangkan masalah sewaktu diberi gelaran itu,” jelas Wak Doyok ketika ditemui Stailo baru-baru ini.

Bercerita mengenai jambang dan kumis eksentriknya itu, jejaka berusia 33 tahun tersebut memberitahu dia mula menyimpannya sejak tahun lepas iaitu ketika bekerja secara sambilan di sebuah butik dari Britain iaitu Ben Sherman.

“Apabila mendapat tahu Ben Sherman bakal memasuki pasaran Malaysia tahun lepas, lantas saya membuat permohonan untuk bekerja di butik itu bagi mendapat pengalaman dalam dunia fesyen,” katanya.

Butik yang beroperasi sejak tahun 1963 itu mengambil beberapa inspirasi fesyen seperti gaya vintaj Mod. Stail itu menjadi ikutan anak muda sekitar tahun 50-an hingga 60-an. Jenama itu mengeluarkan koleksi merangkumi baju, kasut, sut dan beberapa aksesori khas untuk kaum Adam.

Beberapa item terbaharu menyerap pengaruh Carnaby yang banyak menggunakan rekaan langsing dan mengikut bentuk badan.


Model lelaki berjambang

“Permohonan kali pertama saya tidak diterima, mungkin disebabkan imej yang dibawa ketika itu tidak menepati gaya jenama tersebut. Kemudian saya membuat beberapa rujukan dengan melihat kempen-kempen fesyen Ben Sherman yang banyak menggunakan model lelaki berjambang,” ujarnya.

Dia memberanikan diri untuk menyimpan jambang dengan mengikut penampilan ikon fesyen lelaki, David Beckham yang pernah muncul dengan gaya serupa beberapa tahun lepas.

Pada awalnya, Wak Doyok berasa ragu-ragu dan takut jika tidak kena dengan bentuk wajah dan penampilannya. Selama beberapa bulan, bulu-bulu halus mula kelihatan pada wajahnya dan dia mula merapikan jambang supaya kemas dan teratur.

“Saya diterima bekerja di butik itu untuk permohonan kali kedua. Malah, ramai memuji dengan penampilan terbaharu ini,” ujarnya yang mengambil masa selama tiga bulan untuk mendapatkan gaya Howie.

Jelas Wak Doyok, dia akan merapi jambang dan misainya dua hari sekali supaya ia tumbuh rapat dan lebat mengikut struktur wajah.

“Selain itu, saya ada juga mengikut petua orang tua iaitu dengan mengelap jambang menggunakan tangan kanan yang dibasuh selepas makan. Walaupun tidak tahu kesahihannya, jambang saya tumbuh lebat sehingga sekarang,” seloroh Wak Doyok.


Penjagaan perlu teliti

Bagi memastikan jambang sentiasa kelihatan kemas, dia akan melakukan perapian selang dua hari dengan mencukur bulu pada bahagian bawah dagu. Selain itu, kumisnya yang melentik akan digunting supaya tidak terlalu panjang dan nampak menarik.

“Proses penjagaan perlu teliti dan dibuat dengan cermat. Saya lebih suka melakukannya sendiri di rumah berbanding pergi ke salun,” jelasnya yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia fesyen kasual jalanan.

Pembersihan dan penjagaan perlu dilakukan kerana jika dibiarkan, ia akan nampak kotor dan tidak terurus. Wak Doyok berkata, kekotoran akan jelas kelihatan selepas makan kerana sisa-sisa makanan terlekat pada jambang terutamanya sekitar mulut.

“Saya sendiri menghadapi kesukaran ketika peringkat awal menyimpan jambang hingga terpaksa menggunakan sudu dan garfu untuk mengelakkan sisa makanan daripada melekat pada misai,” luahnya.

Seperti rambut dan wajah yang mempunyai produk penjagaan tersendiri, jambang dan kumis juga mempunyai item pembersih dan gel perapi khusus untuk dandanan.

“Beberapa produk saya beli daripada seorang teman di Singapura. Salah satunya ialah wax khas untuk melentikkan kumis. Selain itu, bagi melebatkan jambang, saya gunakan produk yang dibeli di kedai gunting rambut milik penyanyi Joe Flizzow, Joe's Barbershop,” kongsinya lagi.

Menurut pemilik jenama The Garment itu lagi, produk penjagaan untuk jambang dan kumis sukar didapati di dalam negara berbanding di Eropah. Ujarnya, jika di England, terdapat persatuan yang diwujudkan untuk mengumpul komuniti-komuniti berjambang pelik tersebut.

“Di Malaysia, gaya ini masih baharu, tetapi mula mendapat perhatian anak-anak muda kerana berjambang atau berkumis kemas dapat menonjolkan sisi maskulin dan lelaki sejati,” ujarnya.
- See more at: http://nurshahmina.blogspot.com/2013/09/siapa-kenal-wak-doyok-pereka-fesyen.html#sthash.buv6OgSw.dpuf